Khamis, 31 Disember 2009

my girls


Semasa latihan di Politeknik Kok lanas

Selasa, 17 November 2009

Berikan motivasi kepada anak-anak kita ....

Di antara kata-kata motivasi untuk anak-anak kita dan juga anak-anak didik kita supaya mereka sering dinaikkan semangat untuk terus berjaya...

"Perkara yang dapat dibuat dan diselesaikan dalam sehari jangan ditangguh sehingga esok."

" Satu hari bagi orang berilmu lebih baik daripada setahun orang dungu."

" Selagi kita bernyawa,kita mestilah bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara.Itulah hasan yang sebenar.(Ibu zain) "

" Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selam-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya."

" Senyuman adalah ibarat perhaisan batin, yang membantu mengindahkan perhiasan lahir yang kurang cantik."

" Kalau petang dan pagi seseorang itu beroleh aman dan sentosa daripada sebarang gangguan,itulah orang yang bahagia.(zaid) "

" Tiada satu kejahatan pun yang dapat dinilai sebagai baik, meskipun melakukan kejahatan itu dikatakan bertujuan baik. "

" Cita-cita hidup bukanlah jalan yang selalu datar dan ditaburi bunga,melainkan adakalanya disirami dengan airmata dan juga darah."

" Cita-cita yang tinggi itu menyuburkan tabiat yang mulia dan tujuan yang besar dan mulia itu menimbulkan fikiran yang luas dan tinggi. "

" Bila dasar suatu cita-cita bermula,perjalanananya menjadi sukar dan memerlukan pengorbanan yang banyak. "

" Kalau besar yang dituntut dan mulia yang dicari,maka payah melaluinya,panjang jalannya dan banyak rintangannya.(Imam Al Ghazali)."

" Menyebut yang benar tidaklah akan mendekatkan ajal dan tidak akan menjauhkan rezeki. "

" Orang yang sengaja menyorokkan kebenaran adalah orang yang lemah.
(Hamka)."

" Cita-cita dan niat yang baik mesti disertai dengan usaha dan jalan yang baik untuk melaksanakannya. "

" Berbahagialah orang yang dapat menyalahkan dirinya sendiri sebelum menyalahkan orang lain. ( Maksud hadis )"

" Kebajikan yang ringan adalah menunjukkan muka berseri-seri menunjukkan kata-kata lemah lembut "

"Yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya (Aristotle )"

" Pergaulan mempengaruhi didikan otak.Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan oarang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya. (Hamka). "

" Sesungguhnya orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak dan adab sopannya.
( Maksud hadis ). "

" Yang benar tetap benar,yang salah tetap salah.Kaya dan miskin di hadapan keadilan adalah sama. ( Hamka). "


Ermm mengisi masa lapangku kat kedai Bistro Rest Twenty Three, Hentian Kajang sementara menanti bas untuk pulang ke Kota Bharu...

kritikan jurnal " Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita Dan Hubungannya Dengan Tahap Motivasi Guru Sekolah Menengah".

Pengenalan.

Produktiviti sesebuah organisasi atau institusi tidak dapat dipisahkan dengan kualiti kakitangannya.Ini adalah kerana kualiti dan produktiviti kerja kakitangan melibatkan aspek komitmen dan motivasi. Pemimpin yang peka kepada aspek kualiti dan produktiviti perlu terus merangsang dan berusaha untuk mengekalkan tahap komitmen dan motivasi yang tinggi kepada kakitangannya. Motivasi kepada kakitangan seperti dibayangkan oleh tingkahlakunya adalah kesan dari dorongan dalam diri individu dan persekitaran. Motivasi yang tinggi akan memberi kesan kepada prestasi kerja kakitangan. Kepuasan kerja yang tinggi di kalangan kakitangan akan memberi kesan seterusnya terhadap peningkatan motivasi mereka.Situasi ini adalah suatu keadaan yang wujud di mana-mana organisasi atau institusi termasuklah sekolah.

Maka di sini pemimpin atau kepimpinan boleh didefinasikan sebagai keupayaan mempengaruhi , memotivasi, mengubah sikap dan tingkah laku orang bawahan supaya bersetuju untuk melaksanakan program-program dan melakukan perubahan-perubahan kearah mencapai matlamat organisasi (Ishak Bin Sin,2002). Ia telah disokong oleh Jamaliah & Norhashimah,2005) yang menyatakan kepimpinan adalah daya yang mempengaruhi tingkah laku seseorang itu sehingga menyebabkan ia sanggup memberi kerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat yang dipersetujui.
Di sini kita boleh lihat keghairahan penulis membicarakan dan membahaskan topik ini mungkin kerana kepimpinan dikatakan mempunyai kesan yang besar ke atas jatuh bangun sesebuah organisasi Bass 1990, Yukl 1994 dalam Ishak Sin 2002. Pada hakikatnya matlamat akhir yang dikehendaki dalam pentadbiran sekolah ialah untuk meningkatkan taraf pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya meningkatkan pencapaian prestasi pelajar.
Penulis ada menyatakan bahawa pengetua wanita dianggap menghadapi bebanan tugas iaitu sebagai pengetua di sekolah dan juga pengurus rumah tangga, tetapi mereka dapat membuktikan bahawa mereka tetap bertanggungjawab, berani membuat perubahan, berani menghadapi risiko terhadap keputusan yang dibuat (Collard 2001). Namun demikian kepimpinan wanita masih lagi diperlekehkan dan dianggap tidak cekap dalam membuat keputusan dan dikatakan membuat keputusan berdasarkan masalah dan memerlukan bantuan tambahan untuk mengatasinya. Baron (1987) dalam kajiannya menganggap bahawa pemimpin wanita:-
a) tidak begitu berkeyakinan
b) mempunyai kurang pengaruh dan kuasa
c) kurang bijak berurusan
d) kadang-kadang terlalu terdesak

Motivasi merupakan satu konsep yang sangat kompleks Sadariah (2001). Mengikut Zaidatol Akmaliah (2000) menyatakan motivasi sebagai penggerak dan pendorong untuk sesuatu tingkah laku. Ianya dikatakan dapat mengarah tingkah laku supaya menjadi bertenaga dan bertujuan. Namun begitu masalah utama bagi motivasi ialah bagaimana untuk mempengaruhi pekerja yang mempunyai keperluan-keperluan yang pelbagai dan sahsiahyang unik supaya dapat bekerjasama dalam usaha untuk mencapai objektif morganisasi.
Kajian Aminuddin (1990) dalam Nagayaya (1998) menggambarkan bahawa pemimpin berkeupayaan memotivasikan orang bawahan, tetapi isunya ialah gaya kepimpinan yang sesuai yang membangkitkan, menggerak dan mengekalkan motivasi guru-guru. Pandangan Aminuddin ini disokong oleh kenyataan Robiah Sidin (2002) yang menyatakan pemimpin dapat memandu, mendorong atau menggerakkan ahli-ahli organisasinya ke arah mencapai sesuatu matlamat yang ditetapkan.

Sinopsis Jurnal

Penulisan ini merupakan cadangan dan ulasan jurnal ”Gaya Kepimpinan Pengetua WanitaDan Hubungannya Dengan Tahap Motivasi Guru Sekolah Menengah”yang merupakan hasil kajian dari Norhannah Ramli dan Jamaliah Abdul Hamid. Ia diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan 31 (2006) 53-69. Tujuan utama kajian ini adalah untuk meninjau persepsi guru terhadap gaya kepmpinan pengetua wanita dan juga hubungannya dengan tahap motivasi guru di sekolah-sekolah menengah Kajang, Selangor. Kajian ini berbentuk kuantitatif deskriptif dan dilakukan secara tinjauan dengan menggunakan kaedah soal selidik The Leader Behavior Deskription Questionnaire (LBDQ) dan A Questionnaire Measure of Individual Differences in Achieving Tendency (QMAT). Responden yang terlibat adalah seramai 203 orang yang terdiri daripada tujuh buah sekolah menengah di Kajang, Selangor. Pemilihan responden adalah berdasarkan sampel rawak mudah supaya setiap guru mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam kajian. Populasi ini melibatkan guru , tidak termasuk Guru Penolong Kanan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum, Penyelia Petang dan Ketua Bidang.
Dalam instrumen kajian, pengkaji membahagikan soal selidik yang digunakan kepada tiga bahagian. Bahagian A ialah soalan yang berkaitan dengan maklumat latar belakang yang berkaitan dengan ciri-ciri demografi guru iaitu umur, taraf pendidikan tertinggi, tempoh kerjaya dalam perguruan dan tempoh mengajar di sekolah kajian. Manakala bahagian B pula ialah soal selidik bagi mengukur gaya kepimpinan pengetua wanita. Pengkaji menggunakan instrumen The Leader Behavior Desciption Questionnair yang dibentuk oleh Universiti Ohio (Halpin 1966). Bahagian C pula adalah untuk mengukur tahap motivasi guru. Soal selidik ini dibentuk daripada A Questionnaire Measure of Induvidual Differences in Achieving Tendency (QMART) oleh Mehrabian dan Bank (1978).
Pengkaji telah menjalankan kajian rintis bagi bagi memastikan item soal selidik boleh dipercayai dan ada keesahan . Kajian rintis ini dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaann Miharja. Pengkaji menetapkan nilai Alpha Cronbach ditahap 0.60 kerana menurut Majid (1990), pekali keesahan yang sering digunakan hendaklah melebihi daripada 0.60.
Kritikan pengkaji dalam kajian ini termasuklah menyata bahawa senario yang wujud dalam profesion perguruan di Malaysia masa kini adalah bilangan guru wanita dan pengetua wanita telah melebihi jumlah guru lelaki dan pengetua lelaki. Dalam kajian ini, pengkaji menyatakan terdapat sebelas buah sekolah menengah di Kajang. Daripada sebelas buah sekolah menengah tersebut , sembilan buah daripadanya dipimpin oleh pengetua wanita. Namun demikian kepimpinan wanita masih lagi diperlekehkan dan dianggap tidak cekap dalam membuat keputusan dan dikatakan membuat keputusan berdasarkan emosi dan sentimen, gagal menyelesaikan masalah dan memerlukan bantuan tambahan untuk mengatasinya. Baron (1987) dalam kajiannya menganggap bahawa pemimpin wanita:-
a- tidak begitu berkeyakinan
b- mempunyai kurang pengaruh dan kuasa
c- kurang bijak berurusan
d- kadang-kadang terlalu terdesak.

Pengkaji juga ada menyatakan bahawa kejayaan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada bagaimana pengetua dapat mengamalkan gaya kepimpinan yang berrwibawa. Kepimpinan yang berwibawa meliputi memiliki pengetahuan yang meluas dalam aspek pengurusan sekolah. Ini termasuklah pengurusan pejabat, pengurusan kurikulum, perkembangan kakitangan, motivasi kepada guru-guru, pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah, hubungan dengan luar sekolah serta berusaha meningkatkan prestasi sekolah (Kementerian Pendidikan Malaysia,1990).
Ini menunjukkan bahawa persoalan kepimpinan merupakan perkara yang besar dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan generasi akan datang. Dalam konteks kepengetuaan di Malaysia, setiap pengetua semestinya mempunyai kebolehan untuk menginteprestasi perubahan dan menggunakan gaya kepimpinan tertentu dalam memotivasikan guru serta kakitangan ke arah perubahan tersebut.
Menyedari cabaran yang dihadapi oleh pemimpin wanita, pengkaji mengkaji apakah tahap gaya kepimpinan yang mampu diketengahkan oleh pemimpin wanita dalam situasi sesebuah sekolah mereka. Menurut Hersey dan Blanchard (1977), situasi sesebuah tempat dan cabarannya mempengaruhi gaya kepimpinan dan prioriti yang ditetapkan oleh pemimpin. Gaya kepimpinan pengetua amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah. Kerjasama guru akan diperoleh jika pengetua mengamalkan gaya kepimpinan yang sesuai dan dapat meningkatkan motivasi guru dalam melaksanakan tugas mereka.Pengkaji akan mengenalpasti sejauh mana gaya kepimpinan pengetua wanita yang mengamalkan dimensi struktur tugas dan timbang rasa dapat mempengaruhi motivasi guru-guru sekolah. Secara khusus, kajian ini bertujuan untuk:
1- Mengenal pasti persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita di sekolah-sekolah menengah di Kajang.
2- Mengenal pasti hubngan tahap motivasi guru terhadap guru dengan persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita.

Dapatan kajian

Daripada 280 set soal selidik yang diedarkan, hanya 203 set soal selidik (72.5%) yang diterima semula daripada responden. Menurut Cohen dan Manion (1980), reka bentuk korelasi tidak memerlukan saiz yang besar.
Daripada dapatan kajian pengkaji mendapati 92.6% responden mempunyai taraf pendidikan yang tinggi iaitu kelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana. Dari segi tempoh kerjaya pula pengkaji telah menganalisis bahawa:-

Tempoh kerjaya Bilangan Peratusan
< 5 tahun 35 17.2
/;;;;;6 – 10 tahun 64 31.5
11 – 15 tahun 55 27.1
16 – 20 tahun 17 8.4
> 21 tahun 32 15.8

Manakala tempoh mengajar di sekolah kajian pula, pengkaji memperolehi bahawa:-

Tempoh kerjaya Bilangan Peratusan
< 1 tahun 4 2.0
1 – 5 tahun 115 56.7
6 – 10 tahun 58 28.7
11 – 15 tahun 14 6.9
16 – 20 tahun 10 4.9
> 21 tahun 2 1.0

Dari segi persepsi guru terhadap gaya kepimpinan wanita bagi struktur tugas dan timbang rasa, serta tahap motivasi guru, pengkaji telah membuktikan bahawa gaya kepimpinan pengetua wanita berdasarkan struktur tugas adalah lebih dominan di sekolah-sekolah menengah di Kajang mengikut persepsi guru. Kedua-dua dimensi gaya kepimpinan pengetua wanita berada di tahap yang agak memuaskan sahaja. Ini menunjukkan bahawa gaya kepimpinan pengetua wanita bagi kedua-dua dimensi perlu dipertingkatkan lagi.
Manakala dari segi dimensi struktur tugas mendapati gaya kepimpinan pengetua wanita pada keseluruhannya pada tahap yang memuaskan. Bagaimanapun analisis item menunjukkan bahawa guru-guru lebih kerap melihat pengetua wanita melaksanakan struktur yang berkaitan dengan pengawasan disiplin guru, tetapi tidak semestinya kepada tugas-tugas rasmi yang lain, khususnya dalam bidang pencerapan. Ini menunjukkan bahawa guru-guru mempunyai persepsi bahawa pengetua menitiberatkan disiplin guru.
Gaya kepimpinan pengetua wanita dalam dimensi timbang rasa diukur berdasarkan persepsi responden guru tentang cara pengetua wanita menunjukkan persahabatan, saling menghormati, saling mempercayai dan jalin hubungan yang mesra antara pemimpin dan pekerjanya. Di sini pengkaji dapat menunjukkan bahawa walaupun pengetua wanita di dapati mesra, bertanggungjawab dan bersedia berubah, namun mereka dilihat kurang berusaha untuk berbincang dengan guru-guru tentang keputusan-keputusan yang perlu diambil. Jelas di sini, gaya kepimpinan pengetua wanita bagi dimensi timbang rasa dilihat lebih cenderung kepada kemesraan,tetapi tidak semestinya ke arah penglibatan kakitangan.
Manakala dari segi persepsi guru terhadap tahap motivasi guru, pengkaji dapat menunjukkan bahawa min skor keseluruhan bagi tahap motivasi guru pada keseluruhannya berada pada tahap yang memuaskan dimana item-item tersebut membuktikan tahap motivasi guru adalah tinggi. Ini bermaksud bahawa guru-guru bekerja bukan kerana terpaksa. Mereka juga berminat untuk belajar kemahiran baru serta sanggup bekerja keras dan juga dengan rela hati walaupun tanpa arahan daripada pengetua.
Hasil ANOVA sehala menunjukkan perbezaan persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita adalah seperti berikut:-
1- Tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara guru berlainan umur terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita.
2- Tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara guru berlainan taraf pendidikan terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita.
3- Tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara guru yang berbeza pengalaman mengajar terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita.
Daripada keputusan ini jelas bahawa persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita adalah sama walaupun berbeza dari segi demografi guru.
Sekali lagi pengkaji menggunakan ANOVA sehala bagi melihat perbezaan tahap motivasi guru berdasarkan faktor-faktor demografi guru seperti berikut:-
1- Terdapat perbezaan tahap motivasi guru yang signifikan antara guru berlainan umur.
2- Tahap motivasi guru berbeza secara signifikan hanya mengikut umur guru. Sementara, faktor-faktor demografi lain seperti taraf pendidikan, pengalaman mengajar dan tempoh mengajar, tahap motivasi mereka adalah sama sahaja.
Oleh kerana terdapat perbezaan tahap motivasi guru yang signifikan mengikut umur maka ujian Post Scheffe telah dijalankan, keputusannya ialah terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap motivasi guru hanya terdapat antara guru yang berumur 31 hingga35 tahun dan guru-guru yang berumur kurang daripada 30 tahun. Bagaimanapun, guru-guru yang berumur 31 hingga 35 tahun mempunyai tahap motivasi yang lebih tinggi. Faktor kematangan umur mungkin adalah faktor yang mempenngaruhi tahap motivasi dan komitmen seseorang guru.
Maka dari dapatan kajian menunjukkan korelasi positif yang signifikan, tetapi lemah antara tahap motivasi guru dengan gaya kepimpinan pengetua wanita. Ini berrmakna walaupun tahap motivasi guru dipengaruhi oleh persepsi mereka terhadap gaya kepimpinan pengetua mereka, tetapi hubungan ini adalah rendah. Mungkin terdapat pelbagai faktor lain yang turut mempengaruhi hubungan antara kepimpinan pengetua wanita dan tahap motivasi guru.

D. Ulasan analitikal berpadukan Teori asas dalam Pengurusan Pendidikan
Kajian yang dikaji dan ditulis oleh Norhannan Ramli & Jamaliah Abdul Hamid mengenai ” Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita dan Hubungannya dengan Tahap Motivasi Guru Sekolah Menengah “ maka kita dapatkan jauh dari perspektif ke agamaan, hal itu terlihat dari tidak ada satupun rujukan Gaya kepemimpinan yang dilihat dalam kacamata Islam, padahal Islam memiliki konsep yang lebih jelas mengenai gaya kepemimpinan, walaupun penulis tidak mengkaji tentang ke Agamaan, tetapi rujukan lebih banyak pada konsep-konsep luar Islam. Termasuk membincangkan tentang kepemimpinan Pengetua wanita, walaupun kita fahami masih ada khilafiyah dalam menginterpretasikan ayat-ayat mengenai kepemimpinan yang di pegang oleh seorang perempuan.

Walaupun sesetengah pihak menganggap kepimpinan wanita masih mempunyai kelemahan tetapi jika diperhatikan, Pengurusan Sumber Manusia tidak menitik beratkan kepada jantina, tetapi lebih kepada bagaimana cara pemimpin menguruskan organisasinya bagi mencapai matlamat tidak kira pemimpin itu seorang lelaki ataupun seorang wanita.

Seorang pengetua hendaklah mempunyai cita-cita dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkat proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih bekesan. Sekolah perlu kepada seorang pemimpin yang berjiwa besar, semangat dan cita-cita tinggi kerana kepemimpinan sekolah adalah begitu kompleks. Sebahagian besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia, tidak seperti firma atau kilang-kilang yang mengeluarkan produk yang berupa barangan (goods).

Pengetua terpaksa berhadapan dengan guru-guru pimpinannya dan pelajar-pelajar sebagai sasarannya. Di sekelilingnya adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, melalui anak-anaknya. Jadi, sebagai seorang pengetua terpaksa berhadapan dengan tiga dimensi, guru dan kakitangan sokongan, murid dan masyarakat( Mohd Yazid Yusoff,2008).Kerana Keberksanan dalam sebuah kepemimpinan, bukan dikeranakan jantina atau laki-laki, tetapi lebih pada bagaimana seorang pengetua memainkan kecakapannya dari segala aspek, seperti komunikasi, serta langkah-langkah dalam memotivasi warga organisasinya.

Persolan jantina, itu bukan masaalah. Warga oragnisasi tidak boleh bias gender dalam hal pengetua, kerana kepemimpinan tersebut lebih pada kemampuan seseorang. Pengetua harus boleh membangun perhubungan sosial yang baik dengan warga organisasi, (Ch.Elton Mayo 1880-1949).

Dalam kepemimpinan, meskipun pengetuanya adalah perempuan, namun kepekaan (Responsibiliti) terhadap warga organisasi mesti diperhatikan, pengetua harus boleh membaca apa yang di ingini oleh kakitangan, kepemimpinan haruslah fleksibel, kerana tingkah laku manusia berdasarkan tahap-tahap keperluan teori Motivasi Abraham Maslow.
Jikapun ada dualisma dalam kepemimpinan pengetua wanita dalam bebanan tugas, namun itu tidak boleh dijadikan jastifikasi bahawa Wanita tidak boleh jadi pengetua apalagi menganganggap wanita tidak adil, dan kesemuanya itu sering disalah artikan dengan mengatakan bahawa pengetua wanita dalam membuat keputusan sering berdasarkan emosi dan sentimen (Baron, 1987).


E. Sokongan literatur & Dapatan kajian lepas

Adrianto Sugiarto Wiyono,( 2008) Gaya kepemimpinan adalah cara dan pendekatan dalam memberikan arahan, implementasi rencana, dan memotivasi orang Robiah sidin, (2003) Gaya kepemimpinan itu berbeza bagi setiap penegtua, tetapi yang paling penting adalah bagimana mempengaruhi sumber tenaga dalam organisasi baik pengetua itu seorang jantina, kerana kepemimpinan dalam segala usaha yang diambil untuk menggerakkan sumber tenaga dalam sebuah oragnisasi.

Latip B.Muhammad,( 2007 ) Seorang pengetua adalah pemimpin yang mempunyai tanggung jawab besar untuk memandu sekolah dan warganya.

Maimunah Aminuddin,( eds.2 2003) Seorang pengetua wanita dalam kepemimpinan tidak boleh autokratik tetapi harus boleh menghargai warga oraganisasinya, kerana seseorang individu yang merasa dirinya penting akan lebih mengahargai pekerjaanya.

Ab Aziz Yusof, (2008 )Seorang pengetua perlu menjaga perhubungan yang baik di antara subordinat dengan pemimpin adalah penting bagi mengahasilkan pencapaian kerja yang tinggi.

Abdul Ghani Abdullah & Tang Keow Ngang , (2006)Gaya kepemimpinan seorang Pengetua dalam memajukan organisasinya boleh sahaja menjalankan Budaya kolaboratif kerana berkait rapat dengan sikap, tingkah laku, kognitif,dan kefahaman serta komitmen guru terhadap kerja. Selanjutnya Budaya organisasi yang jelas dan kuat perlu dikembangkan dan dikongsi oleh semua ahli sekolah. Ini membolehkan mereka bersedia untuk berkongsi tanggungjawab dan terlibat sepenuhnya dalam kerja sekolah untuk mencapai idea-idea yang dikongsi bersama.

Smith, (1989) Stail kepemimpinan ialah cara pemimpin memimpin atau cara pengetua mempengaruhi tingkah laku pengikutnya untuk mencapai matlamat organisasi.

Dapatan kajian di Malaysia (Abdul Karim Mohd. Nor, 1987; Chairil Marzuki, 1997;Rahimah Ahmad, 1982) mengatakan bahawa kepemimpinan pengetua memainkan peranan yang penting untuk melahirkan sekolah yang berkesan.

Kemudian berdasarkan laporan A Nation At Risk, 1983, Action For Excellence, 1983, Bettter Edcuation for Michigan Citizen : A Blue Print For Action, 1984 di Amerika Syarikat dankajian-kajian Edmonds, (1979), Hussien Mahmood, (1993) (dalam Mahawa binti Pilus,2002) didapati bahawa kepemimpinanpengetua atau guru besar merupakan penggerak utama bagi kejayaan sesebuah sekolah.

Fiedler,(1967) dalam Aminuddin(1990), gaya kepemimpinan ialah Struktur keperluan yang memotivasikan tingkah lakunya dalam pelbagai situasi kepemimpinan.

Ainon (2005), menyatakan gaya kepimpinan merupakan cara seseorang itu berfikir, sikapnya dan tingkah lakunya.

Kesimpulan.

Menjadi pengetua, khasnya di sekolah adalah hak semua orang, hak-hak ini tidak boleh dibatasi oleh jantina. Kerana persoalannya kemampuan dan kecakapan seseorang itu adalah bagaimana pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain untuk mencapai matlamat organisasinya, sebagaimana dikatakan oleh Smith, (1989) Stail kepemimpinan ialah cara pemimpin memimpin atau cara pengetua mempengaruhi tingkah laku pengikutnya untuk mencapai matlamat organisasi.

Dan jika yang menjadi pengetua adalah jantina(wanita), maka selama pencapaian matlamat oragnisasi dapat berjalan secara berkesan, maka dapat kita fahami bahawa kepemimpinan pengetuua telah berjaya termasuk mengaplikasikan segala Gaya kepemimpinannya, sehingga mengenai dualisma dalam bebanan tugas, iaitu sebagai pengetua di sekolah dan menghadapi tugas dan tanggungjawab mengurus rumah tangga (Langer & Boris-Schacter2003) tidak boleh dijadikan sebagai justifikasi.
Kerana Keberksanan dalam sebuah kepemimpinan, bukan disebabkan jantina atau laki-laki, tetapi lebih pada bagaimana seorang pengetua memainkan kecakapannya dari segala aspek, seperti komunikasi, serta langkah-langkah dalam memotivasi warga organisasinya.

Apalgi tulisan hasil kajian yang dilakukan oleh Norhannan Rami & Jamaliah Abdul Hamid (2006), tentang “Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita dan Hubungannya denganTahap Motivasi Guru Sekolah Menengah “ telah membuktikan dengan hasil dapatannya bahawa hasil kajian telah menunjukkan korelasi positif yang signifikan, tetapi lemah antara tahap motivasi guru dengan gaya kepimpinan pengetua wanita, iaitu r= .22, p <.05 (lihat Jadual 10). Ini bermakna walaupun tahap motivasi guru dipengaruhi oleh persepsi mereka terhadap gaya kepimpinan pengetua mereka,tetapi hubungan ini adalah rendah.





















Rujukan:
Ab Aziz Yusof. 2008. Mengurus Perubahan dalam Organisasi. Shah Alam: KHL Printing Co.
Ab.Kadir Nordin. 2000. Gaya kepimpinan Pengetua cemerlang di dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan di Daerah Seremban. Bangi : Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Aminudin Mohd Yusof. 1990. Kepimpinan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ainon Mohd. 2005. Teori dan Teknik Kepimpinan: Panduan Aplikasi di Tempat Kerja. Pahang: PTS Professional
Mohd Majid Konting. 1990. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Maimunah Aminuddin. 2003. Panduan Pengurusan Sumber Manusia. Ed. Ke-2 Selangor : Fajar Bakti
Mohd. Khadri fazil Rahman. 2003. Gaya komunikasi pengetua dan hubungannya dengan kepuasan bekerja. Bangi : Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Robiah sidin. 2003. Teori pentadbiran pendidikan. Malaysia: University Kebangsaan Malaysia.
Sitohang,J.S. 1989. Gaya kepimpinan Sukarno-Suharto. Jakarta : CV Pustaka Aksara
Smith, P.B., & Peterson, M. F. 1989. Leadership, organizations and culture: Aeventmanagement model. London: Sage Publications

Rabu, 16 September 2009

Bagaimana memotivasikan pelajar

Hari ni aku beli satu lagi buku..." Bagaimana memotivasikan pelajar". Dalamnya ada menerangkan konsep, teori dan kepentingan...penulis Baharom Mohamad, Phd. Dalam buku ni jugak ada menyatakan proses perkembangan individu dalam konteks psikologi adalah berasaskan kepada empat perkara iaitu naluri, kehendak, desakan dan motivasi. Bagi individu yang mahu mencapai kecemerlangan dan menggapai kejayaan yang hebat memerlukan motivasi. Malah motivasi dikatakan berjaya mengubah landskap kehidupan individu apabila diaplikasikan dengan betul, tepat dan bijaksakna.... Nanti...InsyaAllah kita akan berkongsi apa isi buku ini semoga kita sama2 mendapat ilmu...ilmu patut dikongsi untuk mendapat keberkatannya...

Jumaat, 14 Ogos 2009

Organisasi Cemerlang

Pemimpin Berkebolehan Hasilkan Organisasi Cemerlang




Oleh Nik Mustapha Nik Hassan



Kejujuran, keikhlasan asas bentuk ketua yang mampu buat perubahan ke arah kebaikan ALLAH berfirman bermaksud:




"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." (Surah an-Nisa', ayat 58).




Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mentadbir organisasi. Amanah perlu diserah kepada orang yang berhak dan berkelayakan. Maju mundur organisasi bermula dengan mutu kepemimpinan. Kegagalan melantik mereka yang layak memberi kesan kepada organisasi. Justeru, ada beberapa kaedah untuk seseorang menerajui organisasi antaranya:
Melalui jawatankuasa mencari yang dianggotai ahli berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak, ia nampak cantik dari segi proses, tetapi gagal memenuhi semangat serta tujuan jawatankuasa itu diwujudkan.



Pemimpin dipilih harus menganggap peluang memimpin sebagai amanah untuk menerajui organisasi mencapai tahap paling cemerlang. Pemimpin harus memiliki wawasan jauh, dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi.



Kejujuran dan keikhlasan pemimpin adalah asas penting. Pemimpin jujur akan mengorbankan tenaga memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga status ‘quo’ prestasi organisasi, sebaliknya berusaha berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.



Kegagalan organisasi berprestasi dengan cemerlang disebabkan pemimpin tidak jujur, mengutamakan kepentingan peribadi daripada organisasi. Sikap negatif banyak menimbulkan gejala kepada prestasi organisasi. Masyarakat tidak boleh membendung pemilihan pemimpin organisasi bermasalah. Usaha mempertahankan pemimpin tidak amanah adalah kesilapan besar mengikut Islam. Di samping itu, kegagalan organisasi mungkin disebabkan pemilihan pemimpin tidak berkelayakan dan berpengalaman. Kelayakan bersandarkan kebolehan pemimpin menjayakan matlamat digariskan untuk organisasi. Pengalaman ialah pendedahan pernah dilalui seseorang dalam tugasan berkaitan. Pemimpin harus mempunyai anggapan bahawa mutu penghasilan organisasi sebagai nilai positif yang mampu dimajukan. Pandangan itu memerlukan usaha mewujudkan satu budaya iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja adalah usaha berterusan.



Amalan itu perlu dijadikan budaya dalam organisasi. Untuk itu tidak memadai pemimpin mempunyai sikap positif terhadap mutu, tetapi kemampuan memimpin secara kreatif dan inovatif semoga tuntutan positif terhadap mutu dapat diterjemahkan menjadi budaya sihat dalam organisasi. Semua lapisan warga organisasi perlu digembleng untuk menyumbang pada tahap tertinggi sekali gus mampu berurusan sesama individu secara muafakat. Pencapaian itu bukan mudah, bahkan ia memerlukan kebolehan pemimpin dengan seni kepemimpinannya luar biasa.




Pemimpin juga harus positif terhadap kebajikan pekerja, mementing kebajikan mereka adalah ciri membawa kepada kejayaan organisasi. Jika semangat pekerja menurun, sudah pasti prestasi bermutu sukar dihasilkan pekerja. Faktor kebajikan pekerja mesti mendapat pembelaan kerana kejayaan organisasi mampu dicapai dengan memartabatkan kebajikan pekerja. Bahkan tidak ada kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kebajikan pekerja. Islam melihat pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi majikan serta barisan kepemimpinan. Oleh itu, gabungan padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan pekerja oleh majikan dan pimpinan organisasi.




Usaha meningkat mutu prestasi organisasi juga memerlukan pemimpin berpandangan jauh. Pemimpin patut mampu menggariskan arah tuju organisasi semoga dapat berperanan secara sesuai dan berkesan dengan perubahan suasana makin mencabar. Dalam suasana semasa yang kerap berubah, pemimpin tidak hanya cukup menguasai kemahiran profesional, malah dapat menghayati harapan kepada apa bentuk perubahan yang akan berlaku.




Pada era kesejagatan kini, kejayaan jangka panjang biasanya bergantung kepada kemampuan meluaskan penguasaan pasaran, termasuk peringkat antarabangsa. Pentas antarabangsa menjadi ukuran kejayaan kepemimpinan individu.




Di samping memiliki wawasan dan matlamat bertaraf sejagat, mutu kepemimpinan dapat dinilai dan ditentukan berdasarkan kemampuan menterjemahkan wawasan organisasi kepada bentuk program dan kegiatan semoga hasil barangan serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran antarabangsa. Banyak organisasi tidak beroperasi dengan berkesan kerana kegagalan dan ketidakmampuan pemimpin menterjemah wawasan organisasi dalam kegiatannya atau jenis pengeluaran menepati hasrat organisasi. Peningkatan mutu kepemimpinan organisasi bagi Islam ialah meningkat prestasi organisasi, kebajikan pekerja dan seterusnya masyarakat. Nabi SAW mengingatkan umatnya dengan sabda bermaksud:




“Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepemimpinan kamu.”




*Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia




Sumber: Berita Harian

Berfikir Menjana Ilmu

Oleh DR. SIDEK BABA

BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah yang berlaku pada seseorang akibat adanya kecenderungan mengetahui dan mengalami. Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya makna, fakta dan kefahaman.
Akal manusia berfungsi untuk mengingat, berfikir dan menaakul. Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.

Manusia diberi daya kognitif yang membolehkannya berfikir. Manusia juga diberi daya efektif yang membolehkan emosi, perasaan dan kerja hati berhubung dengan daya kognitif. Daripadanya lahir pemikiran. Pemikiran yang berkembang boleh memberi asas kepada lahirnya ilmu.

Pada diri manusia terdapat sumber ilmu. Persekitaran yang ada pada diri manusia terkandung ilmu. Pohon-pohon yang subur, haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi yang banyak terkandung ilmu. Peristiwa yang berlaku, perubahan yang terjadi, rahmah dan nikmat yang banyak terkandung ilmu. Allah jadikan semuanya adalah untuk manfaat manusia. Ia mendorong manusia berfikir kerana daripada aktiviti berfikir manusia akan dapat manfaat ilmu.

Ilmu menyebabkan manusia tahu dan menerima makna akan sesuatu. Akhirnya dengan ilmu manusia tahu nilai guna sesuatu dan hikmah daripada sesuatu kejadian.

Para remaja perlu menyuburkan naluri ingin tahu dengan cara berfikir. Berfikir harus dipandu oleh maklumat, fakta dan ilmu. Sejarah pemikiran bukanlah sesuatu yang baru. Sejak Nabi Adam, manusia pertama, proses berfikir sudah berlaku. Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam tentang nama-nama sesuatu supaya dengan mengetahui nama-nama tersebut menjadikannya serba tahu dan ia amat bermakna untuk memandu kehidupan.

Remaja tidak tiba-tiba dewasa dan matang dalam berfikir apalagi mempunyai nilai yang betul tentang sesuatu perkara. Proses bertatih dalam berfikir adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Naluri ingin tahu, ingin mencuba, ingin mengkaji harus tumbuh dalam hati remaja supaya sesuatu yang dilihat dan diperhati tidak hanya berlaku begitu saja tetapi menyebabkan aktiviti berfikir berlaku. Dengan membaca, menonton, berkomunikasi, melihat gelagat dan masalah manusia yang silih berganti, ia membolehkan remaja berfikir.

Aktiviti berfikir membolehkan remaja mendapat jawapan, melakukan analisis dan ia memberikan asas yang baik untuk remaja mencari jalan keluar, meneliti akar masalah dan akhirnya mampu menghasilkan sudut pandangan terhadap sesuatu.

Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Az-Zahrawi, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, cakerawala yang beredar, hujan yang turun, petir kilat sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiran lahirlah tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya ilmu subur dan hidup lebih bermakna.

Dalam tradisi orang Barat sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates membawa ke zaman Galileo, Bruno sehinggalah ke zaman Descartes, Kant, Derrida dan Michel Foucou pada abad ini, manusia tidak pernah berhenti berfikir. Pemikiran mereka berkembang berasaskan pemerhatian, kajian, dapatan, renungan yang bersandar kepada akal dan pengalaman.

Faktor agama, kitab dan kenabian tidak dijadikan sandaran utama. Akhirnya hipotesis dan teori tentang sesuatu dibina atas asas rasional dan saintifik bukan berasaskan autoriti wahyu atau pun agama.

Wahyu

Dalam tradisi Islam akal itu adalah sesuatu yang penting. Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji tidak pula ditolak. Tetapi akal itu dipandu oleh nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi daripada apa yang diketahui oleh manusia. Akal manusia dan pancaindera manusia tidak mampu mencapai segala-gala. Walaupun banyak kehebatan dicetuskan oleh akal namun keterbatasannya tidak menjadikan manusia memiliki kudrat dan kuasa terhadap alam dan kehidupan ini secara mutlak.

Tradisi Islam meletakkan sumbersumber wahyu sebagai hikmah dan pedoman untuk manusia berfikir. Sumber wahyu tidak saja menyatakan perkara-perkara yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tetap wujud walaupun sifatnya tidak maujud. Keyakinan manusia kepada benda yang nyata dan wujud semata-mata belum melengkapi sifat dan hakikat kejadian itu sendiri. Roh manusia adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud dalam bentuk benda.

Namun, manusia yang hidup boleh berkata-kata dalam melakukan pelbagai kegiatan dan ia adalah gambaran adanya roh pada tubuh badan manusia. Sekiranya roh telah tiada, sehebat mana pun akal manusia, hati manusia dan ketangkasan jasmani manusia, ia akan kaku dan mati. Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia. Yang diketahui oleh manusia tentang roh amat sedikit.

Para remaja harus melihat bahawa berfikir adalah suatu fitrah. Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai. Ilmu wahyu dan nilai agama menjadikan proses berfikir lebih bermakna. Proses berfikir menjadikan remaja lebih berilmu, menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu dengan merujuk kepada kebesaran dan keperkasaan Allah.

Apabila sandaran berfikir sifatnya kerana Allah, hikmah berfikir akan memberi rahmat kepada remaja. Remaja akan dilatih tidak saja berfikir secara zahir tetapi faktor batini akan sentiasa menjadi aspek penting dalam kehidupan. Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu dengan mata zahir, ia juga harus menghubungkan objek kajian dan pemerhatian dengan mata hati dan mata batin.

Sekiranya remaja berasa kagum dengan muzik popular Barat, pemikiran yang ada tidak saja untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu semata-mata tetapi tuntutan batini dan hati yang berasaskan asas rohaniah yang tinggi mahukan hiburan yang tidak membawa kepada lagha dan melalaikan. Ia harus mampu mencetuskan minda dan hati dalam titik harmoni yang mendorong manusia mentertibkan hawa nafsu, menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi dan menghasilkan keinsafan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah s.w.t..

Ilmu inilah yang sebenarnya harus dijana oleh remaja hasil berlakunya proses fikir dan zikir yang membimbing remaja supaya dekat kepada Allah.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

* Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia 28 September 2006

Khamis, 15 Januari 2009

Jasa Bonda ditujukan khas buat Bonda Asiah


Kau dibuai dia berjaga
Kau bersenang dia bekerja
Untuk mu tiada terbatas
Memberi tak minta dibalas
Ingin dibinanya untuk mu
Kehidupan yang sempurna
Punya kekuatan jiwa
Punyai maruah

Leterannya dari rasa luhur
Menegur sebelum terlanjur
Itulah yang diwarisi
Pesan ibu terpahat di hati
Beringat-ingatlah berpesan pesan
Untuk kebaikan
Marah bukan kebencian
Tapi tanda sayang

Engkau semakin dewasa
Berjiwa merdeka
Sedang dia semakin tua
Membilang usia
Di saat kau berjaya
Dia tiada berdaya
Semoga kau tak lupa
Jasa bonda

Teruskan Perjuangan

Teruskan Perjuangan
Tahun ini aku berhijrah lagi
dari SK Kubang Kerian 3 Ke SK Sultan Ismail 2
Harap di sekolah baru ini aku lebih tenang untuk mencurahkan baktiku
terhadap anak bangsa.....dan menaikkan semangatku untuk
terus menimba ilmu....
Dimana-mana sahaja kita pergi....
kita patut bertanggungjwab atas segala tugas yang diberikan...
Jawatan S3K3- Ketua PIPP, Penyelaras LDP, Penyelaras Headcount,Penyelaras zoom-a,Penolong penyelaras makmal komputer dan beberapa jawatan kecil
di sekolah baru...
ingatkan dapat jawatan pembantu...
tapi rupa-rupanya aku dilantik sebagai
Setiausaha Kurikulum Sekolah,Penyelaras Persatuan/Kelab, Penyelaras keceriaan untuk sekolah....
Aku bahagia sekali:( harap aku dapat menjalankan tugas sebaik mungkin
dan juga...
Semoga tahun ini akan membawa kebahagiaan dan ketenangan
buat diriku, anak2ku, suamiku dan senak saudaraku...